Khamis, 23 Oktober 2014

6 Titik Permulaan Melahirkan Murid Abad Ke-21


Sasaran projek di seluruh negara adalah untuk menjadikan semua sekolah di Malaysia Sekolah Berfikir Aras Tinggi (Sekolah Pemikiran). Ini adalah satu projek yang besar! Dan ia akan mengambil masa.
Terdapat 6 titik permulaan dalam membangunkan budaya berfikir di sekolah iaitu;
  • Penyoalan reflektif
  • Kemahiran berfikir
  • Peta Visual
  • Rangkaian kolaborasi
  • Membangunkan kecenderungan peribadi
  • Membentuk persekitaran


Enam titik permulaan perlu dipertimbangkan apabila memulakan program i-THINK di sekolah. Penekanan telah diberi kepada pemetaan visual tetapi kesemua peta pemikiran mengukuhkan kesemua titik permulaan.

Penyoalan Reflektif 
Penyoalan merupakan satu alat yang dapat membantu menggalakkan murid berfikir. Penyoalan dapat mencungkil pemikiran pelajar tentang apa yang mereka tahu,bagaimana mereka tahu (refleksi kritikal), dan berfikir tentang apa yang mereka fikir (metacognition). Di samping itu, melalui penyoalan  guru dapat mencungkil kecenderungan pelajar dalam pemikiran dan bagaimana pelajar berkolaborasi dengan pelajar lain semasa proses pembelajaran.

Kemahiran Berfikir 
Kemahiran berfikir merupakan perlakuan proses pemikiran asas untuk menjana dan menyusun maklumat, membina kemahiran menganalisa dan mensintesis, memproses maklumat secara kreatif serta melakukan penilaian. Guru perlu menyemai dan membentuk suatu ruang julat dalam pemikiran pelajar melalui:
                   - Kemahiran berfikir aras rendah
                   - Kemahiran berfikir aras tinggi

Pemetaan Visual
Teknik untuk menggambarkan maklumat secara visual melalui brainstorming webs,  penyusunan grafik dan pemetaan secara bersistem.

Rangkaian Kolaboratif
Rangkaian kolaboratif merupakan kerjasama dalam kumpulan, kelas atau sekolah bagi berkongsi pengetahuan atau kemahiran untuk memantapkan pembelajaran. Rangkaian ini boleh dihubungkan melalui teknologi baru untuk menggalakkan murid mempelajari sesuatu secara lebih meluas. Rangkaian kolaboratif boleh dilaksanakan di dalam pengajaran menggunakan pendekatan pembelajaran secara kooperatif. Menurut Slavin (1990), semua kaedah pembelajaran koperatif memerlukan pelajar bertanggungjawab ke atas pembelajaran rakan-rakan sepasukan mereka selain daripada pembelajaran mereka sendiri.Selain daripada idea bekerjasama, kaedah pembelajaran pasukan pelajar memberi penekanan kepada penggunaan matlamat pasukan dan kejayaan pasukan, ianya boleh dicapai apabila semua ahli dalam pasukan memberi komitmen yang diperlukan.

Membentuk Persekitaran
Persekitaran pembelajaran yang kondusif mempunyai kesan yang tinggi terhadap pengajaran dan pembelajaran. Pengurusan sekolah dan kawasan persekitaran, susunan murid di dalam bilik darjah, aksesibiliti bahan untuk pembelajaran dan penggunaan semua sumber yang ada dalam kawasan sekolah dan komuniti merupakan dimensi untuk membentuk persekitaran pembelajaran yang kondusif

Membangunkan Kecenderungan Peribadi
Kecenderungan peribadi adalah berkaitan dengan penggunaan pelbagai kemahiran  berfikir yang boleh membawa kepada ketekalan, minda yang terbuka dan metakognitif di samping penggunaan pelbagai kecerdasan emosi dan  membentuk empati dalam perhubungan.

Titik-titik permulaan ini memberi panduan untuk membentuk murid abad ke-21 dan mewujudkan budaya berfikir di sekolah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan